Cap Dagangan anda tidak boleh didaftarkan? Cap Dagangan anda ditiru? Ketahui prosedur- prosedur yang perlu diambil kira bagi setiap usahawan/peniaga /syarikat/individu yang ingin mendaftarkan Cap Dagangan perniagaan mereka.
Pengenalan
Harta intelek terdiri daripada dua (2) komponen iaitu Harta Industri dan Hakcipta. Harta Industri terdiri daripada Cap Dagangan, Rekabentuk Perindustrian, Ciptaan (paten), Petunjuk Geografi, dan juga Rekabentuk Susun Atur Litar Bersepadu. Manakala Hakcipta merupakan buku dan penulisan, tarian, nyanyian, lukisan, kerja- kerja rekabentuk, dan seni. Yang membezakan antara kedua- dua komponen ini adalah Harta Industri memerlukan kepada pendaftaran bagi mendapatkan hak eksklusif manakala Hakcipta tidak memerlukan kepada pendaftaran untuk mendapatkan hak eksklusif (Voluntary notification) namun perlindungan kepada pemilik karya adalah sepanjang hidup dan 50 tahun setelah kematian.
Prosedur Pendaftaran Cap Dagangan (TRADEMARK)
-
Pemfailan Oleh Pemohon
Prosedur pendaftaran Cap Dagangan adalah ditadbir di bawah Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan – Peraturan Cap Dagangan (Pindaan) 2011. Menurut Seksyen 3 Akta Cap Dagangan 1976, “Cap Dagangan” bermaksud:
“kecuali berkenaan dengan Bahagian XI, ertinya suatu cap yang digunakan atau dicadang untuk digunakan berhubung dengan barang-barang atau perkhidmatan bagi maksud menunjukkan atau supaya menunjukkan suatu hubungan dalam penjalanan perdagangan di antara barang-barang atau perkhidmatan itu dengan seorang yang berhak sama ada sebagai tuan punya atau sebagai pengguna berdaftar bagi menggunakan cap itu sama ada dengan menunjukkan atau dengan tiada menunjukkan identiti orang itu;
Proses pendaftaran Cap Dagangan bermula dengan pemfailan permohonan oleh pemohon, diikuti dengan semakan formaliti, setelah itu carian dan pemeriksaan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dilakukan, dan pada peringkat akhir adalah pengiklanan (Pewartaan) sebelum sijil Cap Dagangan pemohon dikeluarkan oleh MyIPO. Pemohon boleh melakukan pemfailan Cap Dagangan dengan mengisi Borang Permohonan (Borang TM5) dan Borang (TM1) sekiranya melantik Agen/ Peguam yang berdaftar bagi menguruskan permohonan anda. Akuan berkanun perlu diikrarkan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah dan perlu disediakan oleh pemohon bagi tujuan pemfailan.
-
Semakan Formaliti
Namun begitu pemohon adalah dinasihatkan untuk membuat semakan formaliti terhadap Cap Dagangan anda sebelum permohonan dilakukan bagi mengelakkan permohonan anda mendapat bantahan/bangkangan yang akan melambatkan proses pendaftaran Cap Dagangan anda.
Antara isu-isu yang seringkali menyebabkan sesuatu Cap Dagangan itu dibantah dan/atau mendapat bangkangan adalah dapat dilihat berdasarkan Seksyen 14(1)(a), Seksyen 19(1)/ Seksyen 19(2) Akta Cap Dagangan 1976:-
14. (1) Sesuatu cap atau sesuatu bahagian cap tidak boleh didaftarkan sebagai suatu cap dagangan—
a) jika penggunaannya mungkin memperdayakan atau menyebabkan kekeliruan kepada orang ramai atau akan berlawanan dengan undang-undang;,
19. (1) Tiada cap dagangan boleh didaftarkan mengenai apa-apa barang atau perihal barang
(a) yang serupa dengan suatu cap dagangan yang dipunyai oleh tuan punya yang berlainan dan dicatatkan dalam Daftar mengenai barang-barang atau perihal barang yang sama atau mengenai perkhidmatan yang ada hubungan rapat dengan barang-barang itu; atau
(b) yang sebegitu hampir-hampir menyerupai cap dagangan itu sehingga mungkin memperdaya atau menyebabkan kekeliruan.
19. (2) Tiada cap dagangan boleh didaftarkan mengenai apa-apa perkhidmatan atau perihal perkhidmatan—
(a) yang serupa dengan suatu cap dagangan yang dipunyai oleh tuan punya yang berlainan dan dicatatkan dalam Daftar mengenai perkhidmatan atau perihal perkhidmatan yang sama atau mengenai barang-barang yang ada hubungan rapat dengan perkhidmatan itu; atau
(b) yang sebegitu hampir-hampir menyerupai cap dagangan itu sehingga mungkin memperdaya atau menyebabkan kekeliruan.
Selain itu, pemohon hendaklah melihat kepada atau mengambil perhatian terhadap Seksyen 10(1) Akta Cap Dagangan 1976 bagi memastikan Cap dagangan anda boleh didaftarkan dan permohonan anda lancar tanpa sebarang bantahan mahupun bangkangan:-
10. (1) Untuk membolehkan sesuatu cap dagangan (lain daripada cap dagangan perakuan) didaftarkan, cap dagangan itu hendaklah mengandungi atau mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada butir-butir yang berikut:
(a) nama seorang perseorangan, nama syarikat atau firma yang dinyatakan dengan suatu cara khas atau tertentu; (b) tanda tangan pemohon pendaftaran atau tandatangan seseorang peniaga sebelumnya dalam perniagaannya; (c) suatu atau beberapa perkataan yang dicipta; (d) suatu perkataan yang tiada mempunyai apa-apa hubungan yang langsung dengan sifat atau kualiti barang-barang atau perkhidmatan itu, iaitu perkataan yang mengikut ertinya yang biasa bukan suatu nama berasalkan tempat atau suatu nama keluarga; (e) apa-apa tanda distinktif yang lain.
Pemohon boleh melayari laman web MyIPO http://www.myipo.gov.my bagi membuat semakan formaliti tersebut dengan pergi kepada carian cap dagangan di bahagian cap dagangan tersebut. Pemohon juga digalakkan melantik Agen/Peguam yang berdaftar bagi menguruskan permohonan pendaftaran Cap Dagangan sekiranya anda kekangan masa dan/atau memerlukan bantuan undang-undang mengenai Cap Dagangan kerana ini akan lebih memudahkan anda kerana setiap urusan, surat-menyurat dan sekiranya terdapat sebarang bantahan/ bangkangan Agen/Peguam akan membantu menyelesaikan permohonan anda tersebut.
-
Carian & Pemeriksaan
Setelah permohonan Cap Dagangan anda difailkan, apakah yang akan berlaku sekiranya terdapat bantahan/bangkangan terhadap permohonan Cap Dagangan anda setelah carian dan pemeriksaan dilakukan oleh pihak MyIPO? Pemohon hendaklah mengemukakan keterangan/hujah bertulis beserta bukti keterangan atau bukti penggunaan secara Akuan Berkanun dalam tempoh dua (2) bulan daripada tarikh anda menerima surat bantahan/bangkangan tersebut. Dan menurut Peraturan 28 Peraturan- Peraturan Cap Dagangan 1997, sekiranya tiada jawapan dan/atau pindaan diterima di dalam tempoh tersebut, anda dianggap sebagai telah menarik balik/menggugurkan permohonan Cap Dagangan tersebut. Setiap bantahan/bangkangan yang telah dijawab akan dipertimbangkan oleh pihak Pendaftar terhadap permohonan tersebut.
Namun sekiranya permohonan Cap Dagangan anda telah disetujuterima tanpa ada sebarang bantahan/bangkangan, permohonan anda akan diiklankan/diwartakan dan seterusnya sijil Cap Dagangan anda akan dikeluarkan. Tempoh sah sijil tersebut adalah selama 10 tahun dan perlu diperbaharui. Pemohon perlu melengkapkan Borang TM31 bagi pengiklanan Cap Dagangan tersebut dalam tempoh dua (2) bulan daripada surat setujuterima telah diberi kepada pemohon. Berikut adalah carta pemfailan dan proses pendaftaran Cap Dagangan (TRADEMARK) bagi usahawan/peniaga/syarikat/individu yang ingin mendaftarkan serta melindungi Cap Dagangan perniagaan mereka.
- Pemfailan Cap Dagangan
- Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan (Borang TM5)
- Akuan berkanun yang diikrarkan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah
- Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan (Borang TM1) jika permohonan diuruskan oleh Agen/Peguam yang berdaftar.
- Sesalinan Carian Syarikat yang terkini adalah diperlukan sekiranya pemohon adalah sebuah Syarikat.
- Borang permohonan dan yuran pemfailan boleh dimuat turun dan dilihat di laman web MyIPO http://www.myipo.gov.my
- Pemeriksaan formaliti
- Carian dan Pemeriksaan Cap Dagang (Diterima/ Dibantah/Dibangkang)
- Diwarta/diiklankan (tiada bantahan/bangkangan)
- Pemohon perlu mengisi Borang Permohonan (Borang TM31)
- Sijil Cap Dagangan dikeluarkan
Penutup
Usahawan/peniaga/syarikat/individu seringkali mempunyai persoalan adakah mendaftarkan Cap Dagangan perniagaan mereka ini wajib? Bagi menjawab kepada persoalan tersebut, kita lihat sahaja kes- kes perlanggaran Cap Dagangan yang berlaku di negara kita ini antaranya kes pemilik jenama Maxoil, Maxcare Success Sdn Bhd (Plaintif) berjaya menghapuskan pendaftaran cap dagangan Maxxoil milik Shift Holdings Sdn Bhd. (Defendan) dimana mahkamah mendapati cap dagangan plaintif telah didaftarkan terlebih dahulu pada tahun 2008 manakala Cap Dagangan defendan didaftarkan pada tahun 2014. Lihat juga pada kes yang melibatkan ibu dan anak iaitu kes Faiz Rice Sdn Bhd yang didapati bertanggungjawab terhadap pelanggaran hak cipta dan cap dagangan, bertanggungjawab melakukan ‘tort kelirupaan nama’ (passing off) dan campur tangan secara tidak sah terhadap jenama beras milik syarikat Faiza Sdn Bhd dan beliau diperintahkan membayar ganti rugi berjumlah lebih RM4.2 juta kepada syarikat Faiza Sdn Bhd. tersebut.
Justeru pendaftaran Cap Dagangan ini adalah sangat digalakkan terutamanya kepada usahawan/peniaga/syarikat/individu yang akan memulakan bisnes perniagaan mereka. Ini kerana, pendaftaran Cap Dagangan ini memberikan perlindungan perundangan ke atas harta intelek anda yang digunakan di dalam urusan perdagangan dan perniagaan.