Hafiz Zubir & Co.

Isu Cap Dagangan PS5 di India

Sebelum ini terdapat isu di India di mana seorang individu bernama Hitesh Aswani telah memfailkan permohonan mendaftarkan Cap Dagangan PS5 di India mendahului Sony iaitu pada 29.10.2019. Sony pula hanya memfailkan permohonan untuk mendaftarkan Cap Dagangan PS5 di India pada 6.2.2020. Isu ini telah memuncak apabila kedua-dua pihak telah memfailkan prosiding bangkangan terhadap satu sama lain.

Berikutan hal tersebut, Pendaftar Cap Dagangan perlu memutuskan siapakah yang berhak ke atas Cap Dagangan PS5 yang mana akan mengakibatkan salah satu permohonan lagi akan ditolak.

Bagi Negara Komanwel seperti India yang mendapat pengaruh Undang-undang Inggeris, Pendaftar Cap Dagangan tidak akan bergantung kepada faktor siapa yang memfailkan permohonan untuk pendaftaran Cap Dagangan terlebih dahulu semata-mata di dalam membuat keputusan. Pendaftar Cap Dagangan juga akan melihat kepada faktor siapakah yang mula-mula menggunakan Cap Dagangan tersebut dalam bentuk penjualan atau pengiklanan bagi membolehkan entiti tersebut beroleh nama baik terhadap Cap Dagangan tersebut di negara tersebut.

Agak sukar bagi Sony untuk membuktikan sebarang bentuk penjualan kerana tarikh pelancaran PS5 di seluruh dunia termasuk India adalah sekitar pertengahan bulan November 2020. Namun Sony boleh bergantung ke atas alasan bahawa permohonan pendaftaran Cap Dagangan oleh Hitesh Aswani tidak dibuat dengan niat yang baik kerana pelancaran produk PS5 oleh Sony telah hebah di media di seluruh dunia sejak tahun 2018 sehingga tahun 2019.

Malah PS5 adalah sambungan dari siri-siri produk yang sebelum ini iaitu bermula dari PS2, PS3 dan PS4 untuk bertahun-tahun lamanya dan ini adalah satu fakta yang diketahui di seluruh dunia. Selain itu walaupun Sony memfailkan permohonan Cap Dagangan PS5 di India pada Februari 2020 tetapi permohonan tersebut menggunakan tarikh prioriti permohonan Cap Dagangan PS5 Sony di Jamaica yang telah difailkan tiga minggu lebih awal dari Hitesh Aswani iaitu pada 3.10.2019.

Pendaftaran Cap Dagangan adalah bersifat kewilayahan. Pendaftaran Cap Dagangan di sesuatu negara bermaksud perlindungan Cap Dagangan tersebut terhad ke atas negara tersebut sahaja. Tarikh prioriti boleh dituntut sekiranya Cap Dagangan yang difailkan di negara lain itu tidak melebihi 6 bulan dari tarikh permohonan di negara yang ingin menuntut tarikh prioriti tersebut.

Akhirnya, melalui surat bertarikh 12.10.2020, Hitesh Aswani telah pun menarik balik permohonan Cap Dagangan PS5 beliau di India dan ini bermakna isu ini telah pun selesai.

Di dalam dunia Harta Intelek, istilah yang digunakan untuk menggambarkan tindakan Hitesh Aswani ini dipanggil ‘Trademark Squatting’ di mana satu pihak mengambil kesempatan untuk memfailkan permohonan Cap Dagangan pihak lain di negara yang belum didaftarkan oleh pihak lain tersebut. ‘Trademark squatting’ adalah satu bentuk ancaman kerana setiap negara ada perbezaan di dalam undang-undang Harta Inteleknya dan banyak syarikat-syarikat gergasi terpaksa mengatasi masalah ini sehingga menelan perbelanjaan kos guaman yang tinggi.

Negara-negara undang-undang sivil seperti Indonesia dan Jepun mengamalkan sistem ‘first-to-file’ di mana entiti yang terlebih dahulu memfailkan permohonan Cap Dagangan akan diberi prioriti walaupun terdapat bukti penggunaan Cap Dagangan oleh pihak lain di dalam wilayah tersebut.

Perlu diberi perhatian bahawa perjanjian-perjanjian antarabangsa seperti Paris Convention dan TRIPS mewajibkan negara-negara ahli untuk melindungi ‘Well-known Mark’ atau ‘Famous Mark’ walaupun Cap Dagangan tersebut belum didaftarkan di negara tersebut. Namun terdapat kriteria-kriteria tertentu yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu Cap Dagangan boleh diterima sebagai ‘Well-known Mark’ atau ‘Famous Mark’.

Cerita Cap Dagangan PS5 ini memberikan pengajaran bahawa sebarang permohonan untuk pendaftaran Cap Dagangan perlulah dilakukan secepat mungkin tanpa mengira walau perniagaan anda sebesar Sony sekalipun yang mana sekurang-kurangnya ianya dapat menjimatkan kos untuk menyelesaikan pertikaian.

 

Leave a Reply