Terdapat beberapa jenis harta intelek yang anda boleh daftarkan, antaranya paten, cap
dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta, dan petunjuk geografi.
Paten
Paten adalah satu hak eksklusif yang dianugerahkan untuk sesuatu rekacipta, sama ada produk atau proses untuk melakukan sesuatu yang baru atau penyelesaian teknikal ke atas sesuatu masalah. Dalam erti kata mudah, Paten merujuk kepada ciptaan baru atau inovasi terhadap produk sedia ada. Sekiranya anda telah merekacipta sesuatu ciptaan baru atau teknologi yang masih belum wujud di dunia ini, maka ciptaan anda boleh dilindungi di bawah Paten.
Perlindungan Paten adalah sah untuk tempoh 20 tahun dari tarikh pemfailan. Contohnya, Kenderaan Penuaian Mudah Alih telah dicipta oleh Jaai bin Haron dan beliau telah diberikan paten pada tahun 2013. Alat ini digunakan untuk mengumpul produk pertanian terutama kelapa sawit dalam kuantiti yang banyak. Saiznya yang kecil dan ringan memudahkan untuk bergerak di antara pokok sempit.
Antara kepentingan pendaftaran paten di MyIPO adalah seperti berikut:
- Memanfaatkan rekacipta yang dipatenkan
- Penyerahhak atau pindah milik
- Mendapat lesen
Cap Dagangan
Cap Dagangan yang juga dikenali sebagai “Trade Mark” boleh membezakan barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak lain. Cap Dagangan boleh terdiri daripada perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi tersebut. Pendaftaran cap dagangan adalah sah selama 10 tahun dari tarikh pendaftaran dan perlu diperbaharui setiap 10 tahun. Contoh trademark yang popular dan dikenali ramai adalah KFC, Lenovo, Coca Cola, Apple, Proton dan sebagainya.
Antara kelebihan pendaftaran cap dagangan di MyIPO adalah seperti berikut:
- Asas untuk membina jenama dan reputasi syarikat.
- Berhak mengambil tindakan undang-undang ke atas sesiapa yang mungkin menggunakannya tanpa kebenaran.
- Mendapatkan perlindungan daripada disalahguna, dan ditiru oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
- Sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar menjadi bukti sebagai pemilik yang sah ke atas sesuatu cap dagangan.
- Pemilik cap dagangan mempunyai pilihan pelesenan atau menyerahkan pemilikan tanda dagangan dengan keuntungan yang tinggi.
Reka Bentuk Industri
Reka bentuk industri ialah ciri bentuk, tatarajah, corak atau hiasan yang digunakan pada sesuatu barang melalui apa-apa proses atau cara perindustrian, iaitu ciri yang ada pada barang siap, merupakan ciri yang menarik dan dinilaikan dengan pandangan mata. Dalam erti kata lain, bentuk, corak atau ukiran sesuatu produk.
Suatu reka bentuk perindustrian berdaftar diberi perlindungan selama 5 tahun dari tarikh pemfailan dan perlindungan selama 5 tahun ini boleh dilanjutkan sebanyak 4 kali bermaksud tempoh maksimum perlindungan ialah selama 25 tahun. Antara kepentingan pendaftaran reka bentuk industri ialah mempunyai hak eksklusif untuk membuat, mengimport, menjual, menyewa atau menggunakan bagi tujuan perdagangan atau perniagaan.
Hak Cipta
Hak Cipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka setelah diterjemahkan di dalam sebarang bentuk seperti persembahan, penulisan dan lain-lain. Antara hasilkarya yang layak mendapat perlindungan adalah sastera, filem, seni, siaran dan rakaman bunyi. Perlindungan hakcipta di Malaysia adalah berasaskan kepada Akta Hakcipta 1987.
Tempoh perlindungan bagi karya sastera, muzik atau seni adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya rakaman bunyi, filem dan siaran, perlindungan adalah selama 50 tahun selepas tarikh ia diterbitkan dan tempoh perlindungan bagi siaran melalui cara wayar atau tanpa wayar adalah selama 50 tahun bermula pada kali pertama siaran dibuat. Antara hak yang pemilik hak cipta dapat adalah seperti berikut:
- Pencipta, pemilik hak cipta dan pelaku diberikan hak eksklusif untuk mengawal di bawah undang-undang hak cipta. Hak perundangan yang diberikan kepada mereka termasuk hak untuk menguatkuasakan karya berhakcipta mereka dalam kes-kes pelanggaran sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah.
- Hak ekonomi yang diberikan kepada pemunya hak termasuk hak pengeluaran semula, hak penyampaian kepada orang ramai, hak untuk pertunjukan, tayangan atau permainan kepada awam, hak pengedaran dan hak sewa komersial.
- Hak moral yang terdiri daripada hak paterniti dan hak integriti. Hak paterniti membolehkan penulis untuk dikenali dan menuntut keaslian ciptaan mereka dikekalkan.
- Hak integriti membenarkan penulis untuk menghalang mana-mana pengguna dari pengubahsuaian, penyelewengan, atau pencacatan kerja-kerja tersebut di mana hasil daripada pengubahsuaian yang ketara akan mengubah kerja asal dan menjejaskan reputasi atau kehormatan pencipta.
Petunjuk geografi
Petunjuk geografi adalah tanda yang digunakan ke atas sesuatu produk kerana produk tersebut mempunyai kualiti dan reputasi yang boleh dikaitkan dengan di mana barangan itu berasal. Perlindungan yang diberi adalah untuk barangan seperti produk-produk semula jadi atau pertanian atau apa-apa keluaran kraftangan atau industri. Petunjuk geografi yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral tidak akan dilindung di bawah Akta ini. Sebagai contoh, keluaran semulajadi pertanian atau kraftangan ialah labu sayong, mangga harum manis dari Perlis dan sebagainya.
Tempoh perlindungan bagi petunjuk geografi yang berdaftar adalah 10 tahun bermula dari tarikh pemfailan dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun. Pemilik petunjuk geografi yang berdaftar mempunyai hak eksklusif untuk mengekspoitasi barangan petunjuk geografi bagi mendapat pengiktirafan baik di dalam Negara mahupun luar Negara.