Apabila berlakunya kematian dikalangan ahli keluarga, tugas kita sebagai waris tidak hanya melibatkan kesedihan, tetapi juga tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan.
Berikut adalah beberapa langkah penting yang perlu diambil oleh waris dalam urusan harta pusaka si Mati.
1. MELANTIK PENTADBIR
Pertama, jika si Mati meninggal dunia tanpa sebarang wasiat, waris-waris si Mati perlu berbincang dan bersepakat untuk melantik seorang (atau lebih) Pentadbir dikalangan ahli waris. Perbincangan antara ahli waris adalah tidak terhad terhadap lantikan Pentadbir sahaja tapi juga termasuklah tentang cara pembahagian harta pusaka sama-ada mengikut faraid atau secara persetujuan bersama (bagi orang beragama Islam). Bagi bukan Islam, pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1958 (Akta 300).
Oleh itu, Pentadbir tersebut haruslah bersetuju dan bersedia memikul tanggungjawab untuk menguruskan harta pusaka si Mati. Ini kerana tugas Pentadbir bukanlah mudah kerana Pentadbir akan menjadi orang tengah dan akan terlibat secara langsung dengan pihak berkuasa yang semestinya memakan masa dan kos.
2. MENYENARAIKAN WARIS-WARIS
Kedua, Pentadbir perlu memastikan dan menyenaraikan nama-nama waris si Mati. Tentukan siapa sahaja yang dianggap sebagai waris si Mati. Waris biasanya termasuk suami atau isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara-mara dan individu-individu yang diiktiraf sebagai waris mengikut undang-undang tempatan / Shariah (bagi orang beragama Islam). Kumpulkan maklumat peribadi setiap waris termasuk nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan atau dokumen pengenalan lain yang sah.
3. MENYENARAIKAN HARTA DAN LIABILITI
Langkah ketiga dalam proses pengurusan harta pusaka melibatkan penyediaan senarai harta dan liabiliti si Mati. Harta si Mati boleh dipecahkan kepada dua kategori iaitu Harta Tidak Alih (seperti rumah, bangunan atau tanah) dan Harta Alih (seperti kenderaan, wang simpanan, insurans, pelaburan, saham atau instrumen kewangan).
Jumlah keseluruhan harta si Mati akan menentukan bidang kuasa pihak untuk mendengar permohonan tuntutan harta pusaka seperti berikut: –
Mahkamah Tinggi | Harta Alih dan Harta Tidak Alih yang bernilai lebih daripada RM2,000,000.00 |
Pejabat Pusaka Kecil | Harta Alih dan Harta Tidak Alih yang bernilai kurang daripada RM2,000,000.00 |
Amanah Raya Berhad | Harta Alih yang bernilai kurang RM600,000.00 |
Pentadbir juga perlu menyenaraikan hutang piutang atau liabiliti lain si Mati yang masih tertunggak.
4. MENGUMPUL DAN MENDAPATKAN DOKUMEN-DOKUMEN
Pentadbir perlu mengumpulkan dan mendapatkan dokumen-dokumen sokongan yang penting untuk urusan seterusnya. Berikut adalah senarai dokumen-dokumen yang perlu ada: –
- Bukti Kematian si Mati
Sijil kematian atau salinan laporan kematian daripada hospital atau balai polis adalah dokumen penting untuk mengesahkan kematian si Mati. - Dokumen Berkaitan dengan harta si mati
Semua dokumen yang berkaitan dengan harta-harta si Mati perlu disiapkan. Ini termasuk geran tanah, geran kereta, dokumen Surat Perjanjian Jual Beli / Pinjaman, penyata akaun wang simpanan, KWSP, polisi insurans, penyata pelaburan, saham atau instrumen kewangan lainnya dan sebarang dokumen yang berkaitan dengan harta si Mati. - Dokumen pertalian darah waris dan si Mati
Dokumen-dokumen yang mengesahkan kaitan antara waris dan si Mati juga perlu disediakan. Contohnya sijil nikah, sijil lahir, kad pengenalan atau dokumen lain yang dapat membuktikan hubungan keluarga antara waris dan si Mati.
5. MEMBUAT PERMOHONAN TUNTUTAN HARTA PUSAKA
Permohonan boleh dibuat oleh Pentadbir kepada pihak berkuasa seperti yang dinyatakan di No. 3 di atas. Bagi permohonan di Mahkamah Tinggi, Pentadbir perlu melantik peguam untuk mengendalikan proses permohonan tersebut. In kerana pihak peguam akan menyediakan ‘cause papers’ termasuk butiran tentang harta pusaka, waris-waris yang berkaitan dan undang-undang yang perlu diberikan perhatian oleh Mahkamah.
Manakala, bagi permohonan di Pejabat Pusaka Kecil atau di Amanah Raya Berhad, Pentadbir boleh menguruskan proses permohonan tersebut sendiri atau boleh juga melantik peguam. Permohonan menerusi Pejabat Pusaka Kecil atau di Amanah Raya Berhad agak mudah berbanding dengan Mahkamah Tinggi. Pentadbir hanya perlu mengisi borang-borang yang berkenaan dan menyediakan dokumen sampingan yang lengkap sebelum dipanggil untuk menghadiri perbicaraan di Pejabat Pusaka Kecil.
6. MELAKUKAN PROSES PEMBAHAGIAN HARTA
Selepas mendapat surat perintah pembahagian sama-ada daripada Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad, barulah Pentadbir boleh melakukan proses terakhir iaitu pembahagian harta pusaka kepada waris-waris berdasarkan perintah tersebut.
Bagi urusan pindahmilik, ianya perlu dilakukan di Pejabat Tanah / Daerah di mana harta si Mati itu terletak. Pendaftaran pindahmilik rumah / bangunan / tanah si Mati kepada waris yang masih hidup akan dilaksanakan mengikut bahagian faraid masing-masing atau persetujuan bersama yang diperintahkan. Begitu juga prosesnya dengan harta pusaka yang lain.
Jika ada harta alih yang melibatkan wang tunai, Pentadbir mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang tersebut dan kemudian membahagikannya kepada waris mengikut faraid atau persetujuan bersama yang diperintahkan.
Kesimpulannya, dengan mengikut langkah-langkah ini, Pentadbir dapat menguruskan harta pusaka dengan teliti. Perlu diingatkan bahawa pengurusan dan pentadbiran harta pusaka si Mati akan melalui beberapa proses yang panjang. Oleh itu, adalah disyorkan untuk mendapatkan nasihat profesional untuk memastikan proses ini berjalan dengan lancar.
[Note: This article does not constitute legal advice to any specific case. The facts and circumstances of each and every case will differ and therefore will require specific legal advice. Feel free to contact us for legal consultation.]