Hafiz Zubir & Co.

AI Art and the Ghibli Raya Trend: What Are We Really Clicking On? – Bahasa Melayu Version

Musim raya baru ini, kita lihat ramai orang kita teruja ubah gambar keluarga jadi macam karikatur My Neighbor Totoro berinspirasikan filem-filem Studio Ghibli.

Tiba-tiba kemudian tular pula satu surat “cease and desist” kononnya daripada Studio Ghibli terhadap satu aplikasi AI bernama Gib Studio dan ramai yang percaya Ghibli dah mula ambil tindakan undang-undang.

Tapi sebenarnya, surat tu palsu, malah Ghibli sendiri sahkan melalui NHK yang mereka belum keluarkan sebarang surat amaran pun setakat ini.

Namun, dari satu sudut lain, Hayao Miyazaki sendiri, pengasas dan pengarah utama studio itu, pernah gelar teknologi AI sebagai “penghinaan kepada kehidupan” yang membuatkan ramai pihak mengjangkakan tindakan undang-undang mungkin menyusul.

Bagi sesetengah kartunis atau artis yang kurang senang dengan perkembangan AI ini, terutamanya apabila OpenAI dilaporkan menjana pendapatan lebih USD4 bilion setahun, sebenarnya bukan setakat penggunaan gaya seni kartunis seperti dalam kes Ghibli ini sahaja, tetapi ialah bagaimana cara model AI ini dilatih.

Jika betul hasil-hasil karya seperti gambar-gambar dari filem Ghibli contohnya, digunakan untuk melatih AI tanpa izin, itu mungkin boleh dikira sebagai pelanggaran hak cipta, kerana bergantung kepada fakta sesuatu kes, perlindungan hak cipta boleh menjangkau kepada ekspresi seni, dan bukan sekadar salinan fizikal.

Pada tahun 2023 di Amerika Syarikat, tiga artis terkenal iaitu Sarah Anderson, Kelly McKernan, dan Karla Ortiz sudah pun mengambil langkah undang-undang terhadap syarikat-syarikat AI seperti Stability AI, Midjourney, dan DeviantArt atas alasan karya seni mereka digunakan untuk melatih model AI tanpa kebenaran, yang kemudian membolehkan AI menjana imej baru yang meniru gaya seni mereka secara dekat.

Dalam konteks Malaysia, undang-undang hak cipta kita belum ada peruntukan khas untuk AI, tapi asas Akta Hakcipta 1987 masih boleh dipakai, di mana sekiranya sesuatu karya asal digunakan, disalin atau diadaptasi tanpa kebenaran, itu boleh dikira sebagai satu bentuk pelanggaran.

Di bawah undang-undang Hakcipta memang ada pengecualian terhadap pemilikan Hakcipta iaitu “fair use” atau “fair dealing” tetapi skop “fair dealing” di Malaysia agak sempit, iaitu hanya terpakai untuk tujuan pendidikan, kajian, kritikan atau laporan berita di mana melatih AI secara komersial tidak termasuk dalam senarai itu.

Apa-apa pun ini bukan kali pertama perkara macam ni berlaku apabila melibatkan teknologi baru muncul.

Awal abad ke-20, bila kamera mula digunakan secara meluas, pelukis potret mula rasa tergugat dan mempersoalkan siapa lagi nak tempah lukisan kalau gambar boleh siap dalam masa beberapa minit?

Lepas tu datang pula mesin fotostat, dan industri penerbitan bimbang buku-buku mereka akan dicetak rompak dengan mudah dan lama selepas itu, bila muzik digital jadi popular, industri rakaman pula yang terjejas.

Isunya di sini bukan nak menolak teknologi, tapi lebih kepada bagaimana kita sebagai masyarakat menggunakannya dengan penuh tanggungjawab dan hormat kepada hasil kerja manusia.

Teknologi akan terus berkembang, tapi prinsip menghargai karya dan kreativiti asal jangan sesekali kita lupakan.