Hafiz Zubir & Co.

Kepentingan Mendaftar CAP DAGANGAN (Trademark) Perniagaan Anda

PENGENALAN

Cap dagang atau trade mark merupakan salah satu komponen dalam harta intelek.  Ia tidak semestinya logo. Ia mungkin juga terdiri daripada nama, gambar, huruf, nombor atau kombinasi unsur-unsur tersebut. Cap dagang dapat digunakan untuk mengenal dan membezakan sesuatu produk atau perkhidmatan dalam kategori yang sama. Di Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menguruskan segala perkara yang berkaitan dengan paten, cap dagangan, hak cipta dan sebagainya. Antara kepentingan mendaftar cap dagangan (trademark) perniagaan anda adalah:-

  1. Hak Eksklusif– Pemilik cap dagangan berdaftar mendapat hak ekslusif untuk menggunakan cap dagangan berkenaan dalam urusan/perjalanan perdagangan. Pemilik cap dagangan juga berhak mengambil tindakan undang-undang di bawah Trade Description Act 2011 (TDA) ke atas sesiapa yang mungkin menggunakannya tanpa kebenaran.
  2. Bukti sah undang-undang– Sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftar menjadi bukti sebagai pemilik yang sah ke atas sesuatu cap dagangan. Bukti ini diterima di mahkamah dan juga pihak penguatkuasaan. Ia juga merupakan dokumen penting untuk membuktikan ‘kesahan’ hak milik cap dagangan dalam urusan pengeksportan barangan ke luar negeri.  Cap dagangan yang berdaftar akan memperoleh perlindungan di bawah Akta Cap Dagangan 1976, iaitu bebas daripada sebarang ancaman yang melibatkan cap dagangan.
  3. Perlindungan – Melindungi harta intelek mereka agar hak mereka lebih terjamin sebagai pemilik produk seterusnya bagi memastikan tiada pihak yang menyalahguna, mencuri atau meniru idea dan produk mereka sewenang-wenangnya.
  4. Pindahmilik/ “franchise” – Pendaftaran cap dagangan adalah sah selama sepuluh (10) tahun dari tarikh pendaftaran tetapi boleh diperbaharui. Pendaftaran cap dagangan adalah kekal selagi mana ianya terus diperbaharui setiap 10 tahun. Cap dagangan juga boleh dipindahmilik / dilesenkan melalui permohonan pindahmilik yang boleh dimohon di MyIPO. Cap dagang yang memiliki reputasi yang tinggi mampu meningkatkan nilai cap dagang itu sekaligus memberi keuntungan kepada pemilik cap dagang. Pemilik cap dagangan mempunyai pilihan untuk melesenkan atau memindahkan hak milik cap dagangan dengan ganjaran yang tinggi. Sebagai contoh, Disney melesenkan cap dagangan mereka kepada syarikat lain untuk mengeluarkan produk cenderahati. Pihak Disney akan mendapat royalti hasil daripada perlesanan cap dagang tersebut.
  5. Penghormatan & Pengiktirafan – Pendaftaran cap dagangan ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umumya untuk menghormati dan mengiktiraf ciptaan orang lain kerana bukan mudah untuk pencipta menghasilkan sesuatu jenama atau produk.

Leave a Reply