Hafiz Zubir & Co.

Tiktok dan Hak Cipta: Boleh Ke Guna Lagu Orang Untuk Video TikTok Kita?

TikTok adalah aplikasi sosial berkongsi video yang semakin berkembang pesat. Sehingga kini, pengguna Tiktok sudah mencecah 1 bilion pengguna!

Dengan bertemankan telefon pintar di tangan, bermacam video seperti tarian, tips kehidupan, sketsa lakonan dan pelbagai idea bebas lain daripada pereka-pereka konten TikTok.

Dan selalunya, video-video tersebut pasti diiringi muzik-muzik kontemporari yang sering kita strim di Spotify dan kita dengar di corong radio.

 

Tiktok Dan Youtube

Sebelum TikTok, kita mempunyai Youtube sebagai platform kandungan video. Bermula sebagai platform berdurasi panjang, Youtube juga akhirnya mengalah kepada trend semasa dan memasukkan fungsi YouTube Shorts untuk menyaingi populariti TikTok.

Dari sudut undang-undang, Youtube tegas dalam isu tuntutan hakcipta (copyright claim). Video-video yang menggunakan lagu atau muzik latar yang sudah dilindungi hak cipta pasti akan segera diturunkan dari Youtube.

Setiap video mestilah asli dan menggunakan runut bunyi daripada pereka konten sendiri. Ini bermakna, hanya satu video sahaja yang boleh menggunakan sesebuah muzik atau lagu latar di Youtube.

Mana-mana video yang datang kemudian dan menggunakan muzik yang sama akan melanggar undang-undang hakcipta di Youtube.

Di TikTok, pereka konten digalakkan untuk mencipta video sebanyak-banyaknya dengan menggunakan pilihan muzik latar (background music) daripada pelbagai artis terkenal. TikTok mahu capaian sesebuah lagu itu tersebar luas.

Misalnya lagu Darari dari artis Kpop Treasure. Sehingga kini, Darari TikTok Challenge telah menjana 385.5 juta views dari puluhan ribu video serata dunia! Ramai pereka konten menggunakan Darari sebagai muzik latar video mereka, di mana mereka akan menari sambil meniru gaya DJ.

Jadi, adakah TikTok tidak mempunyai sebarang undang-undang hak cipta sehingga sebuah lagu boleh diguna semula berulang-ulang kali oleh penguna yang berbeza?

 

Apa Itu Hak Cipta?

Hak Cipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka bagi tempoh masa tertentu kepada Bermakna tiada sebarang aktiviti seperti penerbitan semula atau penyiaran karya di mana-mana dibenarkan melainkan dengan keizinan pencipta karya.

Karya muzik termasuk dalam salah satu karya yang dilindungi oleh hak cipta. Tanpa keizinan pencipta muzik, tiada siapa yang dibenarkan untuk menggunakan muzik tersebut untuk kegunaan apa sekali pun.

Jika tidak, pelaku akan dikira melanggar undang-undang hak cipta (copyright infringement)

 

Adakah Lagu di TikTok Dilindungi Oleh Hak Cipta?

TikTok sudah menandatangani perjanjian dengan ramai artis dan produser muzik serata dunia untuk menggunakan lagu-lagu mereka di TikTok.

Ini bermakna TikTok dibenarkan untuk menggunakan lagu-lagu mereka dan sebagai balasannya, artis-artis ini akan dibayar royalti. Kebiasaannya, di dalam perjanjian hak cipta ini akan melibatkan perkara-perkara berikut:

  • Tempoh lesen kebenaran menggunakan lagu tersebut
  • Jumlah royalti yang perlu dibayar
  • Negara-negara yang mempunyai izin menggunakan lagu tersebut

Justeru, pereka-pereka video boleh memilih lagu-lagu pelbagai genre daripada artis-artis terkemuka dunia untuk video mereka secara percuma melalui TikTok Commercial Music Library.

Malah, TikTok sudah memudahkan pengguna dengan meletakkan kategori lagu mengikut tema, genre dan mood. Misalnya, pengguna mahu membuat video bersiar-siar di tepi pantai, tekan sahaja tag “Happy” atau “Excited” dan TikTok akan memberikan ribuan rekomendasi lagu mengikut kesesuaian video.

 

Boleh Ke Guna Lagu Yang Tiada Dalam TikTok?

Jika lagu tersebut memang karya anda, maka tiada masalah. Kerana sebagai pemilik hakcipta lagu, anda berhak untuk menggunakan karya anda sewenang-wenangnya.

Jika lagu tersebut adalah lagu kepunyaan artis atau syarikat rakaman lain tetapi ia tidak tersedia di TikTok Commercial Music Library, jawapannya: tidak.

Seperti yang sudah diterangkan di atas, lagu-lagu mainstream yang anda dengar di video-video TikTok sudah pun diberi kebenaran oleh pemilik hak ciptanya. Maka, tiada isu pelanggaran hakcipta berlaku kerana TikTok sudah diberi lesen untuk menggunakan lagu-lagu tersebut di platform mereka.

Jika anda memuatnaik video dengan lagu yang tidak tersedia di TikTok Commercial Music Library, kemungkinan besar anda sudah menggunakan lagu yang belum diberi lesen oleh pemiliknya untuk digunakan.

Risiko pelanggaran hak cipta lagu boleh berlaku. Video anda akan diturunkan serta merta oleh TikTok, atau lebih parah, anda boleh diambil tindakan undang-undang.

Kesimpulannya:

  • Anda boleh gunakan apa-apa lagu yang ada di TikTok Commercial Music Library untuk video anda tanpa risau.
  • Tetapi jika anda berhasrat untuk menggunakan lagu yang tidak tersedia di TikTok Library, fikir dahulu masak-masak. Jangan risikokan diri dengan tindakan undang-undang semata-mata sebuah lagu.