Pilihan Raya Umum Ke-15 (“PRU15”) bakal menyaksikan pelbagai penjuru gabungan parti utama yang melibatkan parti politik Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) serta Gerakan Tanah Air (GTA) untuk mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat serta beberapa kerusi bagi Dewan Undangan Negeri di Malaysia. Sepanjang proses pilihan raya, undang-undang dan peraturan- peraturan yang mengawal selia Pilihan Raya perlulah dipatuhi oleh setiap calon, ejen-ejen calon serta ahli parti politik masing-masing bagi melancarkan proses pengundian wakil-wakil calon yang bertanding. Terdapat empat akta utama yang menggariskan panduan sepanjang proses pilihan raya iaitu Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Namun, ramai di kalangan rakyat Malaysia yang tidak sedar akan beberapa kesalahan yang telah lazim berlaku sepanjang proses pilihan raya di Malaysia. Kesalahan yang sering berlaku antara calon parti politik adalah pemberian hadiah atau wang untuk meraih undi. Berdasarkan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sebarang pemberian dalam bentuk wang tunai mahu pun ganjaran termasuk wang minyak yang diberikan oleh calon yang bertanding dengan niat untuk meraih undi adalah satu bentuk kesalahan. Jika wang yang diberikan adalah untuk mempengaruhi pengundi, maka pemberian tersebut dianggap sebagai sogokan.
Pada 04.10.2018, seorang calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Kan Chee Yuen pernah menerima peringatan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah melarangnya daripada memberikan pen bersimbol parti politik kepada penduduk setempat sebagai pengisian kempen bagi PRK. Hal ini kerana, sebarang sumbangan hadiah adalah tidak dibenarkan sama sekali dan calon yang bertanding tersebut telah memohon maaf untuk tidak meneruskan sumbangan hadiah tersebut.
Terdapat satu kes yang telah menggemparkan rakyat Malaysia yang melibatkan pengisytiharan PRK Parlimen Cameron Highland iaitu kes Manogaran Marimuthu v Sivaraj A/L Chandran [2018] 1 LNS 2062. Pada 30.11.2018, Mahkamah Pilihan Raya telah memutuskan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 09.05.2018 bagi kerusi Parlimen Cameron Highland yang telah mengisytiharkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) melalui Dato’ Sivarraajh Chandran (“calon tersebut”) adalah terbatal dan tidak sah. Hal ini kerana, terdapat amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan orang asli melalui pemberian wang kepada pengundi untuk mendorong mereka mengundi calon tersebut.
Pempetisyen telah memfailkan Petisyen Pilihan Raya bagi satu deklarasi bahawa Pilihan Raya tersebut adalah terbatal di bawah Seksyen 32(a) dan (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dibaca bersama Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Antara tuduhan Pempetisyen ialah Responden telah memberikan rasuah kepada setiap Tok Batin di perkampungan Orang Asli sebagai “duit rokok” bagi mereka mengundi calon tersebut. Mahkamah Pilihan Raya telah memutuskan bahawa unsur-unsur rasuah di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya telah berjaya dibuktikan di luar keraguan munasabah. Duit rokok yang telah diberikan secara langsung atau tidak langsung oleh Responden, telah mendorong Orang Asli secara rasuah untuk mengundi calon tersebut.
Sebagai rumusan, setiap calon, ahli parti politik mahupun pengundi- pengundi di luar sana hendaklah memastikan Pilihan Raya yang bakal dilaksanakan nanti adalah pilihan raya yang telus dan adil. Jika terdapat kesalahan-kesalahan oleh mana-mana calon yang bertanding seperti yang dinyatakan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengadu bolehlah membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR tidak akan terburu-buru mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana calon atau parti politik yang telah melanggar undang- undang yang sedia ada di Malaysia dan Mahkamah Pilihan Raya sahaja yang boleh menentukan salah laku pilihan raya.