Masih terdapat ramai usahawan–usahawan tempatan yang masih tidak tahu apa itu cap dagangan atau ‘trademark’ dalam Bahasa Inggeris dan mengapa penting bagi sesebuah perniagaan itu mendaftarkan cap dagangan perniagaan. Ada juga sesetengah usahawan–usahawan tempatan yang tidak tahu cara-cara untuk mendaftarkan cap dagangan syarikat.
Kepentingan Mendaftarkan Cap Dagangan Anda
- Elak Cap Dagangan Ditiru
Apabila sesebuah perniagaan telah maju dan makin ramai orang mengenali logo, simbol atau ‘brand’ perniagaan, akan ada individu-individu yang mahu meniru atau cuba mengguna reputasi dan nama baik perniagaan untuk mengaut keuntungan dengan jalan pintas. Apabila anda tidak mendaftarkan cap dagangan perniagaan anda, orang lain boleh mendaftarkan cap dagangan tersebut terlebih dahulu dan ini akan mengakibatkan kerugian besar bagi perniagaan anda apabila anda tidak lagi boleh berniaga menggunakan cap dagangan tersebut. Anda juga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk melakukan penjenamaan semula perniagaan anda kerana cap dagangan anda telah didaftarkan oleh orang lain terlebih dahulu.
- Menaikkan Nilai Syarikat
Pendaftaran cap dagangan bukan sahaja bertindak sebagai sekuriti untuk syarikat anda, tetapi juga menaikkan nilai syarikat. Hal ini kerana kebanyakan pelabur hanya berminat untuk melabur dalam syarikat yang telah mendaftarkan cap dagangan bagi mengelak daripada melabur dalam syarikat yang berkemungkinan menghadapi risiko diciplak dan ditiru oleh orang lain. Selain itu, melalui cap dagangan juga, para peniaga boleh melesenkan atau memfrancaiskan cap dagangan syarikat bagi meningkatkan pendapatan syarikat.
- Perlindungan daripada Persaingan
Melalui pendaftaran cap dagangan, usahawan–usahawan boleh menguatkuasakan hak terhadap cap dagangan yang dimiliki sekiranya ada pihak lain yang cuba untuk menggunakan cap dagangan anda tanpa kebenaran. Semakin lama anda mendaftarkan cap dagangan perniagaan anda, semakin kukuh reputasi cap dagangan anda ke atas perniagaan anda.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi usahawan–usahawan tempatan untuk segera mendaftarkan cap dagangan syarikat.
Tips Sebelum Mendaftarkan Cap Dagangan Anda
- Pemilihan Cap Dagangan
Cap Dagangan yang boleh didaftarkan adalah apa-apa huruf, perkataan, nama, tandatangan, angka, logo, jenama, tajuk, label, tiket, bentuk barang-barang atau bungkusannya, warna, bunyi, bau, hologram, kedudukan, turutan, gerakan atau apa-apa gabungannya.
- Pemilihan Kelas
Setelah anda mengenalpasti jenis cap dagangan yang anda ingin daftarkan, anda perlu memilih kelas yang bersesuaian untuk mendaftarkan cap dagangan anda. Terdapat 45 jenis kelas yang terdiri daripada barangan-barangan dan juga perkhidmatan yang boleh dipilih untuk mendaftarkan cap dagangan anda. Contohnya, jika anda berniaga barangan pakaian, anda boleh mendaftarkan cap dagangan anda di bawah kelas 25, atau jika anda berniaga barangan kosmetik, anda boleh mendaftarkan cap dagangan anda di bawah kelas 3. Manakala jika anda menyediakan sesuatu perkhidmatan, contohnya restoran, anda boleh mendaftarkan cap dagangan anda di bawah kelas 43. Sebaik-baiknya, berundinglah dengan ejen cap dagangan yang berdaftar di bawah MYIPO sebelum anda mendaftarkan cap dagangan anda bagi mengelakkan anda tersalah pilih kelas yang bersesuaian.
- Penggubalan Spesifikasi
Setelah anda mengenalpasti kelas yang bersesuaian untuk cap dagangan anda, anda perlu menyenaraikan jenis-jenis barangan atau perkhidmatan yang anda ingin senaraikan dalam kelas yang telah dipilih. Contohnya, anda memiliki syarikat yang menjual barangan pakaian seperti tudung, baju, seluar dan lain-lain. Oleh itu, anda perlulah menyenaraikan barangan–barangan seperti tudung, baju dan seluar dalam spesifikasi barangan dalam kelas 25 yang telah dipilih. Sebaik-baiknya, berundinglah dengan ejen cap dagangan yang berdaftar di bawah MYIPO bagi membantu anda menggubal spesifikasi yang bersesuaian dengan perniagaan anda.
- Pra-Carian
Adalah penting untuk anda melakukan pra-carian cap dagangan di MYIPO terlebih dahulu bagi mengelakkan pendaftaran cap dagangan yang sama atau seakan-akan sama dengan pihak lain. Tindakan ini juga dapat membantu mengelakkan permohonan cap dagangan anda dibantah oleh pihak MYIPO kerana menyerupai cap dagangan pihak lain.
Proses Pemfailan Cap Dagangan
Proses pendaftaran cap dagangan mengambil masa lebih kurang 1 tahun.
Peringkat 1: Pemfailan
Anda perlu menyediakan maklumat-maklumat berikut:-
- Nama dan alamat pemohon
- Cap dagangan yang ingin didaftarkan (format JPEG adalah lebih baik)
- Kelas dan spesifikasi yang telah dipilih
Peringkat 2: Pemeriksaan
Setelah memfailkan permohonan cap dagangan anda, pihak MYIPO akan memproses permohonan anda. Permohonan cap dagangan anda mungkin dibantah oleh pihak MYIPO atas beberapa sebab seperti:-
- Cap dagangan tidak distingtif
- Cap dagangan tidak boleh membezakan barangan atau perkhidmatan sesuatu perusahaan
- Cap dagangan yang sama atau seakan–akan sama dengan pendaftaran terdahulu
Walaubagaimanapun, anda tidak perlu khuatir kerana bantahan kali pertama bersifat tidak mutlak; pemohon akan diberi peluang oleh pihak MYIPO untuk memfailkan hujahan atau memohon suatu pendengaran bagi menjawab bantahan yang telah dikeluarkan oleh pihak MYIPO. Oleh yang demikian, sekiranya permohonan anda dibantah, anda perlu menjawab bantahan tersebut dalam masa yang ditetapkan supaya permohonan anda tidak ditolak secara mutlak.
Peringkat 3: Penyiaran Dalam Warta
Setelah cap dagangan anda diluluskan oleh pihak MYIPO, cap dagangan anda akan diwartakan selama 2 bulan. Pada peringkat ini, cap dagangan anda boleh ditentang oleh mana-mana pihak ketiga, dan jika tiada bantahan daripada mana-mana pihak, cap dagangan anda akan didaftarkan.
Peringkat 4: Pendaftaran
Setelah tamat tempoh 2 bulan, cap dagangan anda diwartakan dan pihak MYIPO akan mengeluarkan sijil pendaftaran cap dagangan.
Peringkat 5: Pembaharuan
Untuk makluman anda, setiap pendaftaran cap dagangan akan bertahan selama 10 tahun. Oleh yang demikian, selepas 10 tahun, anda perlu memperbaharui pendaftaran cap dagangan anda untuk terus melindungi cap dagangan anda.
Sekiranya anda memerlukan khidmat daripada ejen cap dagangan untuk membantu anda mendaftarkan cap dagangan anda, anda boleh menghubungi pihak kami di [email protected] untuk mengetahui lebih lanjut cara dan proses mendaftarkan cap dagangan anda kerana kami adalah ejen cap dagangan yang berdaftar dengan MYIPO.