Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan telah mengeluarkan suatu keputusan berkenaan cap dagangan (‘trademark’) atas nama individu. Individu tersebut tidak lain tidak bukan adalah Hafiz Hamidun, selebriti tersohor tanah air.
Hafiz Hamidun telah menggunakan popularitinya sebagai seorang penyanyi nasyid untuk mempromosikan perniagaan pakaian beliau. Pada masa yang sama, gedung kain terkenal di Malaysia iaitu Kamdar telah menjual koleksi baju Melayu yang digelar ‘Hafiz Hamidun’. Setelah peguam Hafiz Hamidun menghantar surat tuntutan kepada Kamdar melalui peguamcara beliau, akhirnya Kamdar membuat keputusan untuk menukar nama koleksi baju Melayu tersebut kepada ‘Afiz Amidun’.
Kalau anda berada di tempat Hafiz Hamidun, adakah anda akan berpuas hati dengan tindakan pihak Kamdar? Dari segi cara sebutan dan cara gaya, perbezaan antara cap dagangan ‘Afiz Amidun’ dan ‘Hafiz Hamidun’ tidak begitu ketara. Sekali imbas, rata-rata masyarakat Melayu yang membesar dengan lagu-lagu Hafiz Hamidun pasti akan berkata, “eh, Kamdar ada jual baju melayu jenama Hafiz Hamidun lah!”
Oleh sebab itu, pihak Hafiz Hamidun telah membawa kes ini ke peringkat Mahkamah Tinggi. Hakim telah memutuskan bahawa Kamdar bertanggungjawab atas kesalahan mengelirupa cap dagangan ‘Hafiz Hamidun’. Walaupun pada ketika itu Hafiz Hamidun belum mendaftarkan nama beliau sebagai cap dagangan secara rasmi di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia, namun disebabkan beliau amat terkenal, maka Mahkamah memutuskan bahawa terdapat nama baik (‘goodwill’) pada nama beliau.
Tidak berpuas hati, pihak Kamdar merayu ke Mahkamah Rayuan. Di peringkat ini, ternyata isu teknikal membuatkan Hafiz Hamidun terduduk: Mahkamah Rayuan berpendapat Hafiz Hamidun sepatutnya memfailkan kes ini melalui syarikat pakaiannya dan bukannya atas kapasiti individu. Atas sebab tersebut, Mahkamah Rayuan tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan mendapati bahawa Kamdar tidak melanggar cap dagangan Hafiz Hamidun.
Kali ini, Hafiz Hamidun pula merayu ke Mahkamah Persekutuan, iaitu Mahkamah tertinggi di Malaysia. Rayuan kali ini adalah rayuan terakhir yang dibenarkan undang-undang dan pihak-pihak perlu akur dengan keputusan muktamad Mahkamah Persekutuan.
Mahkamah Persekutuan telah membincangkan isu nama baik (‘goodwill’) dengan lebih mendalam. Mahkamah memutuskan bahawa nama baik (‘goodwill’) secara ringkasnya adalah nilai atau daya tarikan yang terdapat pada sesuatu jenama. Nama baik (‘goodwill’) yang terbina akan membuatkan para pelanggan berminat untuk membeli atau terus membeli produk yang dihasilkan oleh jenama tersebut. Contoh paling mudah: rakyat Malaysia membesar dengan minuman coklat malt Milo. Jadi apabila diberikan pilihan antara Milo atau produk lain yang kurang popular, semestinya rata-rata pelanggan akan cenderung memilih Milo.
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Hafiz Hamidun mempunyai nama baik (‘goodwill’) terhadap namanya. Mana tidaknya, populariti beliau cukup kuat untuk membuatkan beliau mendapat tempat dalam senarai ‘The World’s 500 Most Influential Muslim’ bagi tahun 2015 dan 2016! Nama baik (‘goodwill’) beliau cukup kuat untuk membolehkan beliau membawa kes ini atas kapasiti individu dan bukan atas kapasiti syarikat yang memasarkan pakaian di bawah jenama ‘Hafiz Hamidun’.
Akhirnya, Hafiz Hamidun dapat menarik nafas lega. Keputusan Mahkamah Persekutuan adalah muktamad dan Kamdar perlu membayar gantirugi kepada Hafiz Hamidun. Berakhirlah sudah perjuangan Hafiz Hamidun yang memakan masa bertahun lamanya, sejak tahun 2017.
Jadi, apakah iktibar yang boleh diambil daripada kisah Hafiz Hamidun ini?
Pertama, kes ini membuka ruang kepada figura-figura terkenal tanah air, terutamanya para selebriti dan ahli sukan, untuk melindungi nama mereka daripada dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Sekiranya nama mereka disalahgunakan, mereka boleh membuat tuntutan sivil di Mahkamah untuk memastikan hak mereka terpelihara.
Kedua, penting bagi semua usahawan untuk mendaftarkan harta intelek masing-masing. Daftarlah nama dan logo perniagaan anda sebagai cap dagangan berdaftar yang sah di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Logo perniagaan dan karya-karya seperti rekaan fesyen, rekaan produk, rekaan laman web, lirik lagu, lukisan dan poster misalnya, boleh didaftar sebagai hakcipta. Sekiranya anda berhasil membuat kajian terbaru yang bermanfaat kepada masyarakat, anda boleh mendaftarnya sebagai paten. Malah, terdapat banyak lagi jenis perlindungan yang diberikan oleh undang-undang terhadap idea-idea dan ciptaan-ciptaan seperti pendaftaran pembaharuan utiliti, petunjuk geografi, reka bentuk perindustrian dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.
Kadangkala, usahawan-usahawan kecil sederhana yang baru mula menapak dalam bidang perniagaan kurang berminat untuk mendaftarkan harta intelek bagi menjimatkan kos. Namun percayalah, apabila perniagaan anda telah popular, akan ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang akan mencari ruang mendapatkan keuntungan atas idea-idea anda dan cuba menumpang nama baik (‘goodwill’) perniagaan anda. Sekiranya hal ini berlaku – dan hal ini terlalu kerap berlaku – anda akan menghadapi kerugian berlipat kali ganda berbanding kos pendaftaran harta intelek anda.