Hafiz Zubir & Co.

PERJANJIAN JUAL BELI ‘Sale and Purchase Agreement (SPA/SNP)’

Apakah itu Perjanjian Jual Beli?

Perjanjian Jual Beli atau juga disebut sebagai SPA/SNP dalam Bahasa Inggeris, adalah satu dokumen penting yang merangkumi segala informasi dan obligasi berkenaan pembelian sesebuah Hartanah di antara Penjual dan Pembeli.

Ia juga merupakan satu kontrak yang sah dimana kedua-dua pihak bersetuju keatas semua terma-terma dalam Perjanjian Jual Beli dan sekiranya berlaku pelanggaran mana-mana terma oleh satu pihak, pihak yang lagi satu boleh membawa perkara tersebut kemuka pengadilan.

Secara umumnya terdapat dua (2) jenis Perjanjian Jual Beli:-

  1. Pembelian daripada Pemaju (‘Direct Purchase’)
  2. Pembelian daripada Pembeli Terdahulu (‘Sub-sale’)

 

Apakah yang perlu anda lakukan sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli?

1. Pembelian daripada Pemaju (‘Direct Purchase’)

Sekiranya anda ingin membeli Hartanah daripada Pemaju, kebiasaanya Pemaju telah melantik Peguam bagi mengendalikan urusan Perjanjian Jual Beli.

Perjanjian Jual Beli tersebut adalah satu perjanjian yang standard yang terkandung di dalam Peraturan- Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989 dan tertakluk kepada Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Anda akan menandatangani:-

  • Perjanjian Jual Beli dibawah Jadual G, sekiranya anda membeli Hartanah jenis ‘Landed Property’; atau
  • Perjanjian Jual Beli dibawah Jadual H, sekiranya anda membeli Hartanah jenis ‘High-rise Property’

2. Pembelian daripada Pembeli Terdahulu (‘Sub-sale’)

Sekiranya anda adalah Pembeli, adalah amat mustahak untuk anda mendapatkan khidmat nasihat Peguam untuk urusan Perjanjian Jual Beli. Ini adalah untuk memastikan hak-hak anda sebagai Pembeli dapat dinyatakan di dalam Perjanjian Jual Beli tersebut.

Sekiranya anda adalah Penjual, anda diberi pilihan samaada mendapatkan khidmat nasihat Peguam untuk urusan Perjanjian Jual Beli atau tidak diwakili oleh mana-mana Peguam. Sekiranya Penjual tidak diwakili oleh mana-mana Peguam, Perjanjian Jual Beli tersebut akan diuruskan sepenuhnya oleh Peguam Pembeli.

 

Apakah dokumen-dokumen yang perlu anda serahkan kepada Peguam?

Bagi pembelian ‘Sub-sale’, terdapat beberapa dokumen yang diperlukan daripada Penjual & Pembeli sebelum seseorang Peguam itu dapat menyediakan Perjanjian Jual Beli. Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:-

Penjual:

  1. Salinan Kad Pengenalan;
  2. Salinan Geran (sekiranya ada);
  3. Salinan Perjanjian Jual Beli yang terdahulu;
  4. Salinan Cukai Tanah & Cukai Pintu bagi tahun semasa; dan
  5. Salinan ‘Deed of Receipt and Reassignment’ (sekiranya ada)

Pembeli:

  1. Salinan Kad Pengenalan; dan
  2. Salinan ‘Offer to Purchase/Booking Form’

Adalah penting bagi seseorang Peguam itu tahu akan latar belakang Hartanah yang terlibat sebelum merangka dan menentukan hala-tuju Perjanjian Jual Beli. Sebagai contoh; adakah Geran kepada Hartanah tersebut telah dikeluarkan? Adakah Geran kepada Hartanah tersebut telah didaftarkan kepada Penjual? Adakah Hartanah tersebut tertakluk kepada sebarang Sekatan Kepentingan atau Bebanan? Adakah Hartanah tersebut Tanah Rizab Melayu?

 

Apakah informasi yang terdapat di dalam Perjanjian Jual Beli?

Antara informasi yang perlu ada di dalam sesebuah Perjanjian Jual Beli adalah seperti berikut:-

  1. Nama, Kad Pengenalan dan Alamat Penjual & Pembeli;
  2. Alamat dan penerangan Hartanah yang hendak dijual/dibeli
  3. Harga Hartanah yang hendak dijual/dibeli;
  4. Tempoh Masa Bayaran;
  5. Tempoh Lanjutan Masa Bayaran;
  6. Faedah Bayaran Lewat; dan
  7. Nama dan Alamat Pejabat Peguam yang mengendalikan Perjanjian Jual Beli

 

Apakah kepentingan menandatangani Perjanjian Jual Beli?

  1. Mengandungi terma-terma yang telah dipersetujui oleh Penjual & Pembeli;
  2. Melindungi hak-hak Penjual & Pembeli;
  3. Mengariskan obligasi Penjual & Pembeli;
  4. Menyatakan akibat-akibat pelanggaran oleh Penjual & Pembeli;
  5. Memudahkan proses pindahmilik; dan
  6. Menjadi salah satu bahan bukti di Mahkamah

 

Akhir sekali, jangan lupa dapatkan satu salinan Perjanjian Jual Beli yang bersetem untuk simpanan dan rujukan anda pada masa hadapan!