Bidang kerja seorang peguam Harta Intelek tidak terhad kepada mengendalikan kes-kes saman pelanggaran Harta Intelek, membantu proses pendaftaran harta Intelek atau menderaf perjanjian-perjanjian berkenaan Harta Intelek sahaja, tetapi ada masanya kami juga diperlukan untuk terlibat dengan proses penguatkuasaan Harta Intelek anak guam bersama-sama pegawai peguatkuasa daripada badan kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) atau Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Perlu diingatkan di sini, apabila disebut penguatkuasaan Harta Intelek di Malaysia, maka Harta Intelek yang terlibat adalah Hak Cipta di bawah seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987 dan Cap Dagangan di bawah seksyen 99 Akta Cap Dagangan 2019. Sebelum kemunculan Akta Cap Dagangan 2019, proses penguatkuasaan Cap Dagangan adalah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Sekiranya kes-kes saman pelanggaran Harta Intelek berlaku di Mahkamah Sivil, kes penguatkuasaan Harta Intelek akan berakhir di Mahkamah Jenayah di mana sang peniru akan di dakwa dan dijatuhkan hukuman denda atau penjara sekiranya di dapati bersalah. Buat masa ini, Harta Intelek seperti Reka Bentuk Industri dan Paten masih belum mempunyai remedi di Mahkamah jenayah untuk dikuatkuasakan dan oleh itu kedua-dua Harta Intelek tersebut bergantung sepenuhnya kepada remedi di bawah Mahkamah Sivil sekiranya berlaku peniruan.
Sebagai salah seorang pengamal undang-undang Harta Intelek, saya melihat ‘scene’ produk tiruan (counterfeit) melalui revolusi beberapa fasa perubahan:
Fasa awal, iaitu tahun 2013 kebelakang, sindiket produk tiruan menjual secara fizikal di kedai-kedai ‘retail’. Cara ini membuatkan mereka sangat mudah tertangkap kerana aktiviti mereka tertakluk kepada syarat-syarat asas seperti mesti memiliki lesen perniagaan dari PBT dan mendaftarkan perniagaan di SSM. Di Fasa ini, walaupun sedikit bahaya tetapi kerja kami untuk memerangkap mereka senang kerana mereka masih lagi ‘identifiable’. Kami boleh mengupah penyiasat persendirian bagi melakukan ‘fake purchase’ dan kadang-kadang mengumpan mereka dengan tawaran pembelian pada jumlah yang tidak mampu mereka tolak. Sudahnya semasa COD, kami datang dengan pegawai KPDNHEP (masa itu KPDNKK) dan semua barang tiruan dilabel menjadi barang kes dan kes juga dikira sebagai kes ‘caught red handed’ yang membuatkan proses untuk disangkutkan sabitan di bawah Akta Perihal Dagangan pada ketika itu menjadi lebih ‘straight forward’. Sesetengah dari mereka disaman lagi di Mahkamah Sivil pula selepas itu bagi tuntutan gantirugi. Pernah ada satu kes yang saya kendalikan pada masa ini, peniru dikenakan denda di Mahkamah jenayah sebanyak RM300,000 dan kemudian terpaksa membayar gantirugi pula kepada pemilik Harta Intelek sebanyak RM60,000 di Mahkamah Sivil.
Fasa Kedua, iaitu sekitar tahun 2013-2019. Penggunaan Facebook yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia telah menyebabkan penjual produk tiruan menggunakan platform yang sama sehingga algorithm juga dikaji bagi meningkatkan capaian pengiklanan. Platform tersebut diluaskan ke Instagram apabila Facebook yang membeli Instagram pada tahun 2012 telah menyediakan ruang berniaga yang sama di Instagram selepas itu. Di Fasa ini peniaga produk tiruan mengamalkan konsep hibrid, di mana penjualan kedai fizikal dikurangkan, pemasaran dilakukan dengan giat di atas talian melalui Facebook atau Instagram, tetapi kebanyakan produk masih lagi diserahkan kepada pembeli secara COD atau self-pick up. Pada Fasa ini peniaga produk tiruan masih lagi boleh diperangkap seperti di Fasa pertama ketika mereka membuat COD secara sendiri. Walaupun sindiket barang tiruan tidak perlu menjual produk secara offline dengan risiko yang tinggi dan identiti mereka tidak terlalu terdedah seperti di Fasa Pertama, Facebook mempunyai polisi Harta Intelek yang sangat ketat. Ini memudahkan kerja kami sebagai Peguam Harta Intelek kerana sebarang laporan pelanggaran Harta Intelek yang diyakini ‘genuine’ akan di ambil tindakan pantas oleh Facebook di mana bukan sahaja pautan tersebut dikeluarkan dari Facebook, tetapi akaunnya juga akan digantung. Ini membuatkan peniru yang mempunyai pengikut mungkin sehingga ratusan ribu merasa tertekan apabila akaun mereka digantung begitu sahaja. Polisi yang sama juga digunapakai di Instagram. Antara faktornya mungkin kerana Facebook adalah sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, sebuah negara yang terkenal membanteras pencabulan Harta Intelek secara lantang sehingga mewujudkan ‘Priority Watch List’ of the United States Trade Representative (USTR) bagi menyenaraikan negara-negara yang kurang efektif di dalam melindungi dan menguatkuasakan Harta Intelek. Senarai tersebut akan menjadi ancaman kepada negara yang tersenarai kerana ini akan menjadi sandaran kepada pelabur-pelabur asing untuk membuat keputusan samada ingin melabur ke negara mereka atau tidak. Pada tahun 2014 di Malaysia juga agensi-agensi kerajaan seperti SSM, KPDNKK dan LHDN giat berkempen agar peniaga atas talian tetap perlu mendaftarkan perniagaan mereka dimana tindakan boleh diambil kepada mereka yang ingkar.
Fasa Ketiga iaitu sekitar 2019 hingga sekarang di mana dunia e-dagang menjadi semakin dinamik di seluruh dunia termasuk Malaysia dengan lebih ramai orang mula membeli belah di atas talian. Shopee dan Lazada yang dulu asalnya hanya menjual produk-produk dari negara China kini telah dijadikan medium oleh usahawan tempatan berikutan kebanjiran pengguna di laman web tersebut. Pada tahun 2019 Shopee mula menunjukkan prestasi cemerlang sebagai antara 10 laman web yang paling kerap dikunjungi oleh warganet Malaysia. Tidak seperti Facebook, fungsinya seratus peratus untuk jualan atas talian di mana pengunjung web mereka memang datang kerana ingin berbelanja dan mengeluarkan duit mereka. Ibaratnya, Shopee adalah pusat membeli belah tetapi secara maya di mana di dalamnya terdapat beribu-ribu kedai yang menyediakan banyak pilihan kepada pengunjung web dengan kos penghantaran yang minimum. Sudah tentu sindiket barangan tiruan juga tidak akan ketinggalan dan mula beralih ke Platform ini. Sekali lagi kami sebagai Peguam Harta Intelek bagi melindungi kepentingan anak guam terpaksa berurusan dan memahirkan diri dengan Shopee dan Lazada pula. Di fasa ini penjual tiruan sudah tidak lagi menggunakan kedai fizikal dan bergantung sepenuhnya kepada syarikat logistik yang tumbuh bak cendawan selepas hujan yang menawarkan perkhidmatan pada harga yang rendah. Para peniaga bukan sahaja boleh menjimatkan kos mereka daripada membayar sewa kedai tetapi mereka juga dapat berjimat dari segi kos penghantaran. Apabila kami melakukan ‘fake purchase’ kebanyakan sindiket tiruan telah pun cerdik dan tidak meletakkan alamat yang betul pada slip pengeposan barang-barang tiruan tersebut. Proses mengenalpasti dalang sindiket tiruan disukarkan lagi apabila penjual-penjual di Shopee tidak diwajibkan memiliki pendaftaran SSM. Akhirnya apa yang boleh kami lakukan hanyalah melaporkan pelanggaran Harta Intelek tersebut di ruangan yang disediakan kerana Shopee dan Lazada juga mempunyai polisi Harta Intelek walaupun mungkin tindakannya tidak seefektif dan sepantas Facebook dan Instagram. Malah, tidak seperti Facebook dan Instagram, hanya pautan yang dilaporkan sahaja yang akan dikeluarkan dari laman web mereka tetapi akaun pemilik pautan masih lagi dibenarkan beroperasi Pada tahun 2019 juga terdapat sebuah kes saman sivil terhadap Shopee iaitu A & M Beauty Wellness Sdn Bhd v Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd [2021] 1 LNS 84 di mana satu permohonan Injunksi Interlokutori difailkan supaya Shopee menghentikan penjualan produk tiruan AM Profesional Skin Care oleh penjual-penjual produk tiruan di laman web Shopee samada sekarang atau yang akan datang kerana Plaintif yang sebelum ini telah melaporkan pautan-pautan yang menjual produk tiruan tetapi tidak kesemua pautan tersebut dikeluarkan oleh Shopee. Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Injunksi Interlokutori tersebut atas pelbagai sebab juga telah memberi ‘remark’ bahawa penjual-penjual produk tiruan adalah pihak ketiga dan Shopee tidak mempunyai kebolehan teknikal untuk menapis senarai penjual atau untuk membuat ‘autoblock’ di laman web mereka.
Apa yang boleh saya rangkumkan di sini adalah penguatkuasaan undang-undang perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan gaya hidup masyarakat. Saya harap kita memerlukan undang-undang yang mewajibkan pendaftaran perniagaan untuk peniaga-peniaga yang berniaga di Platform atas talian bagi membolehkan sekurang-kurangnya pelanggar Harta Intelek dikenalpasti dan seterusnya diambil tindakan. Saya rasa perkara ini tidak mustahil, kerana tidak seperti facebook, Shopee dan Lazada mempunyai syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat iaitu Shopee Mobile Malaysia Sdn Bhd untuk Shopee dan Ecart Services Malaysia Sdn Bhd untuk Lazada. Sekiranya sebuah pusat membeli belah fizikal mempunyai kedai-kedai di dalamnya yang mempunyai lesen pendaftaran dan pendaftaran perniagaan, saya percaya ianya juga boleh dipraktikkan kepada pusat membeli belah maya seperti Shopee dan Lazada.