Hafiz Zubir & Co.

PELANGGARAN CAP DAGANGAN: ANTARA SAMBAL NYET BERAPI KHAIRUL AMING VS SAMBAL NYET KHAIRI DAN KAITANNYA DENGAN PANASONIC VS PENSONIC

Baru-baru ini saya perasan ramai yang petik kes Panasonic vs Pensonic dalam mengulas kes sambal penyet. Fakta kes Panasonic vs Pensonic ini tak boleh disamakan dengan kes sambal atas beberapa sebab.

Doktrin ‘First-to-use’ vs ‘first-to-file’
Pertama sekali, jenama Pensonic telah dipasarkan di pasaran Malaysia seawal 1988 sedangkan Panasonic hanya memasuki pasaran Malaysia pada tahun 1991 walaupun ‘trademark’ Panasonic telah difailkan untuk didaftarkan di Malaysia pada tahun 1971.
Sebagai salah satu negara Komanwel, Malaysia telah mengamalkan doktrin ‘First-to-use’ berbanding ‘first-to-file’ di dalam undang-undang ‘trademark’ yang bermaksud penggunaan ‘trademark’ yang lebih awal mengatasi pemfailan untuk pendaftaran ‘trademark’ yang lebih awal.
Penggunaan ‘trademark’ bermaksud penjualan dan pengiklanan produk atau perkhidmatan yang menggunakan ‘trademark’ tersebut.

Siapa yang lebih awal masuk ke pasaran Malaysia?
Walaupun Panasonic telah dipasarkan di negara-negara lain lebih awal termasuk di Amerika pada tahun 1955 tetapi undang-undang ‘trademark’ adalah bersifat ‘territorial’. Ini bermaksud sebarang penggunaan mahupun reputasi sesuatu ‘trademark’ hanya akan dinilai di dalam ‘territory’ yang dipertikaikan sahaja melainkan sekiranya ‘trademark’ tersebut dianggap sebagai ‘well-known mark’.
Pertarungan di antara Panasonic dan Pensonic ini sudah tentu bukan berlaku di Malaysia sahaja tetapi juga di negara-negara lain, dan memandangkan undang-undang dan perlindungan ‘trademark’ adalah bersifat ‘territorial’, maka keputusan undang-undang berkenaan sama-ada Panasonic dan Pensonic mengelirukan atau sebaliknya juga berbeza-beza dari satu negara ke negara yang lain.
Sekiranya Mahkamah di sesuatu ‘territory’ tersebut berpendapat bahawa kedua-dua ‘trademark’ adalah tidak mengelirukan dan orang ramai masih boleh membezakan sumber produk daripada kedua-dua ‘trademark’, maka Mahkamah akan membenarkan kedua-dua ‘trademark’ untuk ‘co-exist’ di pasaran negara terbabit.

Kes Panasonic vs Pensonic di negara-negara lain
Seperti di Malaysia, Pensonic dan Panasonic juga ‘co-exist’ di sepuluh negara lain termasuk Australia, Hong Kong, Sri Lanka dan Jepun. Ya, Jepun iaitu negara asal kelahiran Panasonic juga telah memberikan pendaftaran ‘trademark’ kepada Pensonic.
Di Singapura pula, bantahan Panasonic terhadap pendaftaran ‘trademark’ Pensonic telah dibenarkan kerana berpendapat bahawa kedua-dua ‘trademark’ tersebut adalah sama dan mengelirukan. Ini juga sama berlaku di Filipina.
Sebagai salah satu ahli Komanwel, Singapura juga melihat kepada bukti penggunaan ‘trademark’ dan mendapati walaupun Pensonic telah memasuki pasaran Singapura seawal 1984 iaitu 10 tahun lebih awal dari Panasonic, tetapi penggunaan ‘trademark’ Pensonic terhenti setakat 1986 sahaja dan hanya cuba mendaftarkan ‘trademark’ pada 2005.
Singapura berpendapat sekiranya Pensonic meneruskan penggunaan ‘trademark’ selepas 1986 di Singapura, kemungkinan besar Pensonic dan Panasonic boleh ‘co-exist’ di pasaran Singapura.

Kes Sambal Nyet tidak sama dengan kes Panasonic vs Pensonic
Kes sambal penyet tidak boleh disamakan dengan Panasonic vs Pensonic kerana jelas kedua-dua produk datang dari ‘territory’ yang sama dan juga jelas sambal penyet yang dikatakan tiruan itu datang selepas Sambal Nyet Berapi keluar di pasaran.
Dalam kes ini, bukan sahaja Sambal Nyet Berapi dikeluarkan lebih awal tetapi ‘trademark’ nya juga telah didaftarkan lebih awal berbanding Sambal Nyet Khairi yang tidak didaftarkan langsung.

Tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap pelanggar cap dagangan
Malah, Sambal Nyet Khairi juga telah menggunakan pembungkusan produk yang jelas sama dan serupa yang boleh di ambil tindakan di bawah undang-undang ‘tort of passing-off’ dan juga merupakan pelanggaran Hak Cipta.
Bagi setiap kes pelanggaran ‘trademark’ akan terbahagi kepada dua jenis, iaitu pelanggaran dari ‘legit competitor’ yang ‘established’ dan satu lagi adalah dari sindiket/pasaran gelap/entiti yang tidak berniat menjalankan perniagaan tersebut dalam jangka masa panjang yang mana sekiranya dibawa kes ke Mahkamah pun kebarangkalian besar ianya tidak akan hadir dan kalau diputuskan untuk membayar gantirugi pun tidak mampu untuk bayar.
Namun, tindakan undang-undang tetap perlu diteruskan oleh pemilik ‘trademark’ kerana sekurang-kurangnya dapat menghentikan penjualan produk tiruan yang mengganggu perniagaan.
Selain tindakan di Mahkamah Sivil, pada masa yang sama pemilik ‘trademark’ juga boleh mendapatkan remedi di bawah Mahkamah Jenayah serta berurusan dengan platform-platform jualan atas talian untuk membuang pautan-pautan produk tiruan tersebut.
Tulisan ini hanyalah pendapat peribadi penulis dan tidak boleh diambil sebagai nasihat guaman