- Lukisan kartun adalah Karya Grafik yang layak mendapat Hak Cipta di bawah seksyen 7(1) Akta Hakcipta 1987. Sekiranya Kartun tersebut mempunyai dialog, maka ianya tergolong di bawah Karya Sastera yang juga layak mendapat Hak Cipta di bawah peruntukan yang sama;
- Hakcipta bermaksud Hak Eksklusif untuk mengawal pengeluaran semula, hebahan serta penjualan terhadap keseluruhan atau sebahagian karya itu sama ada di dalam bentuk asal atau bentuk terbitan;
- Karya terbitan itu bermaksud sebarang karya yang terhasil daripada karya asal. Contohnya sekiranya Karya Asal itu adalah kartun maka sebarang adaptasi kepada animasi atau teater, kompilasi, terjemahan daripada kartun tersebut adalah Karya terbitan dan ianya dilindungi sama sepertimana Karya Asal di bawah Hak Cipta;
- Jangka hayat Hak Cipta sesuatu Karya Seni dan Karya Sastera adalah bermula dari tarikh ianya mula diterbitkan sehingga 50 tahun selepas pencipta Karya tersebut meninggal dunia;
- Sekiranya seseorang kartunis itu kerja makan gaji untuk menghasilkan kartun ataupun kartun itu ditempah dan ianya dikenakan bayaran maka Hak Cipta Kartun tersebut adalah milik majikan kartunis tersebut atau penempah kartun tersebut melainkan terdapat perjanjian lain di antara mereka yang mengatakan sebaliknya. Malah Hak Cipta juga boleh dijual kepada pihak lain. Oleh itu Pemilik Hak Cipta dan Pencipta Karya tidak semestinya orang yang sama;
- Seseorang Kartunis sebagai pencipta Karya mempunyai Hak Moral terhadap karya kartunnya yang bermaksud tiada orang boleh menukar nama pencipta karya kartun tersebut atau mengubah-ubah karya kartun tersebut yang boleh menjejaskan reputasi Kartunis tersebut;
- Hak Moral tetap akan kekal dengan Kartunis selaku Pencipta Karya walaupun Hak Cipta Kartun tersebut telah dijual kepada pihak lain mahupun sekiranya Hak Cipta Kartun tersebut adalah milik majikan seperti yang diterangkan di dalam item 6 di atas;
- Seperti kebanyakan Harta Intelek yang lain, Hak Cipta adalah Harta yang tidak boleh disentuh atau dilihat seperti rumah atau kereta yang membuatkan ianya mudah terdedah kepada penyalahgunaan orang-orang yang suka mengambil kesempatan;
- Walaupun pendaftaran untuk Hak Cipta tidak diwajibkan tetapi Pemilik Hak Cipta digalakkan untuk didaftarkan melalui pemberitahuan sukarela di bawah seksyen 26A atau melalui satu pengakuan kanun berdaftar yang boleh menjadi keterangan prima facie terhadap pemilikan sesuatu Hak Cipta sekiranya berlaku sebarang pertikaian; dan
- Hak Cipta adalah salah satu Harta Intelek yang sangat berkuasa kerana ianya mampu menjana keuntungan yang tinggi melalui kaedah perlesenan Karya Asal dan merangkumi Karya-karya terbitan. Pemilik Hak Cipta boleh melesenkan Hak-hak yang sebahagiannya terdapat di dalam item 2 di atas dengan balasan diberi bayaran lesen dan/atau bayaran royalti. Justeru adalah penting untuk setiap perlesenan dimeteraikan melalui satu perjanjian bertulis yang lengkap dan terperinci yang mengandungi tempoh perlesenan, skop perlesenan, kaedah penamatan, kaedah pembayaran, pengiraan royalti dan penyelesaian pertikaian sekiranya ada.